Masa berlalu begitu pantas sekali. Dalam sekelip mata, bulan Mei telah tiba. Diri ini masih belum bersedia.
Bersedia untuk apa? Kehidupan. Dunia di luar kampus. Dunia di luar tanggungan ibubapa. Dunia penuh cubaan dan dugaan.
Hati kecil ini masih lagi belum sembuh sepenuhnya. Luka dulu masih lagi berdarah. Masih lagi perit rasanya. Terlalu banyak perkara yang berlaku tahun lalu, hingga hati kecil ini, yang dulunya kental, terluka akibat dari kecuaian diri dan serangan dunia.
Segala keyakinan diri yang diriku miliki satu ketika dulu, segala visi masa hadapan yang diriku impikan dari kecil, telah remuk dihempap kenyataan hidup.
Dan sehingga saat ini, diriku tidak pasti bagaimana harus ku teruskan perjalanan hidupku yang masih panjang. Patutkah ku abaikan sahaja kehidupan yang ku impikan dari kecil? Atau teruskan usaha mereliasasikan impian ku itu? Walaupun ianya semakin lama semakin pudar, pintu cahaya ditutupi oleh realiti dunia?
Sekiranya ku teruskan jua, ku tidak pasti sejauh mana hati kecil ini mampu bertahan. Namun, ianya tetap degil, masih tidak sanggup melepaskan impian hidup itu.
Masa semakin suntuk. Peluang makin tipis. Keputusan harus dibuat.
Oh, Tuhan. Tolonglah diriku ini.
No comments:
Post a Comment