Saturday, January 28, 2012

Ludahan Kepala Dan Jiwa

Ditujukan kepada insan yang telah melukai hati sahabatku.


Tahun baru telah menjelma. Buku lama ditutup, buku baru mula diisi. Tetapi, sekali-sekala, hati terkenang tentang cerita lama. Kenangan, pengajaran, cerita, angan-angan; yang pahit, yang manis, yang mengumis air mata.

Itulah kehidupan. Setiap tahun sama sahaja, walaupun ada bedanya. Persahabatan baru, persahabatan yang hilang. Cinta ditemui, cinta dilukai. Perang di sana sini. Politik dunia yang tidak pernah aman.

Benar. Kehidupan adalah percaturan hidup. Setiap tindakan ada akibatnya. Setiap tindakan adalah pilihan kita. Setiap insan ada peranannya.

Benar. Kita hanya merancang, Tuhan menentukannya. Tapi wajarkah untuk diri kita menunding semua akibat daripada pilihan yang kita buat kepada Tuhan?

Kita patutnya lebih bertanggungjawab terhadap semua tindakan, pilihan yang kita ambil. Bukannya setiap kali rancangan tidak menjadi, kita berkata "oh, Tuhan yang menentukannya."

Pernah kah Tuhan menyuruh kita, "Anda perlu memenangi hati wanita itu, dengan apa cara sekali pun. Berikan janji-janji manis duniawi kepadanya. Lakukannya sepenuh hati." Tetapi bila telah berjaya, terus berputus asa tanpa memberi sebarang penjelasan, tanpa sebarang timbangrasa terhadap si dia? Cuma berkata ianya rancangan Tuhan.

Tidak. Jangan salahkan Tuhan terhadap tindakan sendiri. Terhadap sikap tamak diri sendiri.

Dirimu selalu mewarwarkan diri bagaikan seorang insan yang serba kekurangan, yang sering dianiayai orang lain, yang sering dilukai. Sikap rendah diri mu telah menawan hatinya. Tetapi rupanya ianya hanya topeng. Hanya hiasan.

Dan kau telah guna bucu tajam topengmu itu untuk menikam hatinya.

Dia mempercayai kata-kata dustamu, walaupun diriku telah memberi amaran. Walaupun kau telah memanggilnya dengan kata-kata kesat? Dan inilah balasan yang kau beri?

Jangan kau kata ini rancangan Tuhan. Kerana tiada siapa tahu apa yang Tuhan telah rancangkan.

Buka lah topengmu. Lihatlah cermin itu. Jujurlah pada diri sendiri. Cukuplah dengan semua ini.